Aqobatul Ilm - Pertempuran Pertama : ILMU
Pertempuran pertama yang perlu ditempohi dalam menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim ialah pertempuran untuk mendapatkan ilmu Islam. Tanpa ilmu, ibarat seseorang itu berjalan di dalam kegelapan. Tidak nampak jalan yang hendak dituju. Dan tidak tahu matlamat arah tujuan. Orang yang dipimpin Allah yang telah direzkikan Allah untuk menjadi hamba-hamba Nya, akan diberikan Allah perasaan mencintai ilmu. Lantas dirinya juga amat mudah faham akan ilmu yang pelajari.
Dari Abu Bakrah ra., Dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Jadikanlah dirimu orang alim atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pelajaran agama, atau pun orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut); dan janganlah engkau menjadi (dari) golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa."(Al-Bazzar)
Ilmu merupakan perkara asas, atas setiap amal perbuatan. Untuk menjadi seorang yang mentaati Allah memerlukan ilmu. Untuk menjadi seorang menderhakai Allah juga perlukan ilmu. Inilah kepentingan ilmu. Dan ilmu yang dituntut untuk kita pelajari, fahami, yakini, amalkan dan perjuangkan ialah ilmu Fardhu Ain.Tanpa ilmu, ibadah yang dilakukan oleh seseorang tidak dapat dihayati dan dilakukan secara semborono. Tanpa ilmu, maka cacatlah ibadah. Justeru itu, cacatlah juga hubungan kita dengan Allah dan sesama manusia. Maka terhinalah kita seperti diisyaratkan Allah dalam
surah Al Imran ayat 112 :"Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan dari Allah dan mereka ditimpakan kemiskinan (dari segala jurusan). Yang demikian itu disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah (perintah-perintahNya) dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa mencerobohi (hukum-hukum Allah). "
Dalam pertempuran untuk menimba Ilmu, seseorang itu perlu menguasai tiga senjata bagi menjamin kemenangan dalam pertempuran untuk menimba ilmu. Seandainya ketiga-tiga senjata tersebut dapat dikuasai, pertempuran pertama ini pasti dapat dimenangi. Ketiga-tiga senjata itu ialah :
1. Ilmu Tauhid
2. Ilmu Fekah
3. Ilmu Tasauf
A. Ilmu Tauhid :
Ilmu yang paling pertama dan utama dalam agama adalah ilmu tauhid. Tauhid ertinya mengesakan Tuhan serta mengiktiqadkan dengan sepenuh keyakinan bahawa Allah SWT adalah Tuhan yang menciptakan alam ini beserta dengan bukti-bukti yang jelas. Jadi ilmu Tauhid ialah ilmu untuk mengenal Allah dengan sifat-sifat Nya yang wajib, mustahil dan harus. Begiru juga ilmu Tauhid ilmu yang mengenalkan kita dengan Rasul dan Nabi melalui sifat-sifat mereka yang wajib, mustahil dan harus.
Ilmu Tauhid juga merupakan ilmu yang membahaskan rukun-rukun iman yang enam, yang menjadi keyakinan seluruh umat Islam. Antara kepentingan ilmu Tauhid ialah :
a. Memperbetulkan keyakinan terhadap Zat Pencipta.
b. Menjauhkan sebarang keyakinan selain dari Allah SWT
c. Menjauhkan sebarang penyembahan selain dari Allah SWT
d. Memberi panduan bagaimana untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.
Setiap orang wajib mempelajari ilmu tahuhid dan aqidah agar mengetahui Tuhan yang dia sembah, mengetahui nama-nama, sifat-sifat dan perbuatan-Nya, mengetahui tentang hukum-hukum kauniyah-Nya (ketentuan-Nya tehadap alam) dan hukum-hukum syari'ah-Nya, mengetahui kebijakan-Nya dan rahasia syari'ah dan ciptaan-Nya, sehingga dia tidak tersesat dan menyesatkan orang lain.Ilmu ini membicarakan secara mendalam akan persoalan rukun iman yang enam. Iaitu :
1. Beriman Kepada Allah : Dengan Iman, kita membulatkan keyakinan dan menundukkan diri serta hati kita hanya kepada-Nya.Secara positifnya kita menuju Tauhid yang semurni-murninya dan secara negatif kita menolak segala bentuk pemujaan kepada selain Allah s.w.t.
2. Beriman Kepada Malaikat-Malaikat : Dengan Iman kita mempercayai bahawa adanya makhluk ghaib yang bernama Malaikat yang menjalankan tugasnya mengikut perintah Allah.Secara positif kita percaya kepada alam ghaib yang ditegaskan oleh Allah dan secara negatif kita menolak segala bentuk ghaib yang tidak dinyatakan Allah
3. Beriman Kepada Rasul-Rasul : Dengan beriman kepada Rasul-Rasul, kita mempercayai adanya pesuruh-pesuruh Allah di muka bumi ini untuk dijadikan petunjuk dan teladan.
4. Beriman Kepada Kitab-Kitab : Dengan beriman kepada kitab-kitab suci, kita mempercayai adanya kitab-kitab Allah yang memimpin manusia, yang di akhiri oleh Kitab Al-Quran
5. Beriman Kepada Hari Kiamat : Dengan Iman, kita mempercayai bahawa di sebalik kehidupan di dunia yang fana ini masih ada lagi kehidupan yang abadi dan berkekalan iaitu suatu tempat penentuan kedudukan manusia sama ada di syurga atau neraka.
6. Beriman Kepada Qada' dan Qadar : Dengan beriman kepada qada’ dan qadar, kita mempercayai bahawa di samping kita berusaha dan merancang akan kehidupan di dunia ini, Allah telah menentukan segala sesuatu itu dan terletak di dalam kekuasaan-Nya.
Ilmu Tauhid yang dituntut untuk dipelajari adalah sekadar untuk mengesahkan iktiqad seseorang Muslim. Oleh itu seorang muslim dituntut untuk mengenal Allah dan Rasul-Nya. Untuk mengenal Allah yang mempunyai adalah melalui sifat Nya, nama Nya dan penciptaan Nya. Allah yang memiliki segala sifat kesempurnaan dan Maha Suci Allah dari segala sifat kecelaan. Maka wajiblah seseorang muslim mempelajari, memahami, meyakini dan mengamalkan sekurang-kurangnya 20 sifat yang wajib bagi Allah, 20 sifat yang mustahil bagi Allah dan satu sifat yang harus bagi Allah beserta hujjah/dalil naqli dan hujjah/dalil aqli walaupun secara ijmali.
Begitu juga seorang muslim dituntut untuk mempelajari 4 sifat yang wajib bagi Rasul & Nabi, 4 sifat yang mustahil bagi Rasul dan Nabi, serta satu sifat yang harus bagi Rasul & Nabi beserta hujjah/dalil naqli dan hujjah/dalil aqli walaupun secara ijmali. Kesemua sifat-sifat yang disebut tadi wajiblah dipelajari, difahami, diyakini beserta dalil-dalilnya walaupun secara ijmal (ringkas). Kesemua sifat-sifat yang disebut tadi merupakan senjata-senjata ampuh buat setiap pejuang yang ingin bertempur di medan perjuangan menimba ilmu.Barangsiapa yang tidak mempelajari ilmu Tauhid, atau mengenal Allah dan Rasul secara tafsili ( detail ) atau ijmali ( ringkas), iqtiqadnya tidak sah dan amalannya tertolak.
B. Ilmu Feqah ialah ilmu untuk seseorang Muslim mengenal hukum-hukum syarak berhubung dengan amalan dan perbuatan Mukallaf yang diambil dari sumber-sumber Al Quran dan Hadis secara terperinci serta sumber dari ijmak ulamak dan ijtihad.Melalui Ilmu Feqah maka kita tahu dalam amal perbuatan, perkataan yang mana satukah tergolong dalam salah satu dari lima hukum yang kita perjelaskan di bahagian muqaddimah yang lalu iaitu hukum wajib, sunat, haram, makruh dan harus.Melalui Ilmu Feqah juga kita dapat tahu dan kenal akan sah sesuatu amalan. Iaitu sama ada sesuatu amalan atau ibadah itu dilakukan dengan cukup rukun dan syaratnya seperti diperjelaskan oleh Allah di dalam Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Seandainya tidak cukup syarat dan rukun, maka amalan tersebut adalah batal.
Apa itu syarat ? Syarat ialah sesuatu hal yang terletak di luar ibadah (muamalah), tetapi wajib dipenuhi. Contohnya : Syarat wajib sembahyang ialah : Islam, Baligh, berakal (Mukallaf).
Apa itu rukun ? Rukun ialah sesuatu perkara yang wajib dipenuhi dan terletak di dalam Ibadah (Muamalah). Contohnya : Rukun sembahyang adalah niat.
Sekurang-kurang Ilmu Feqah yang wajib setiap muslim pelajari ialah sekadar Fardhu Ain. Iaitu mengetahui syarat dan rukun untuk menentukan sah dan batalnya sesuatu ibadah terutama yang melibatkan persoalan rukun Islam iaitu sembahyang, puasa, zakat, menunaikan haji serta melaksanakan tuntutan kalimah syahadah.
Ilmu feqah terbahagi pula kepada 4 juzuk ilmu yang lain iaitu :
1. Ibadah
2. Muamalah
3. Munakahah
4. Jenayah
Ibadah : memperjelaskan sah atau batalnya sesuatu amal ibadah kepada Allah SWT. Ianya melibatkan penyaluran ilmu dan kefahaman terhadap rukun dan syarat-syarat yang perlu ditempohi untuk mengesahkan amalan tersebut seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT. Dimulai dengan menyalurkan ilmu Taharah (bersuci) , Solat, Zakat, Puasa dan Haji serta sub-juzuk sub-juzuk yang terkandung dalam setiap tajuk.
Muamalah : ianya memperjelaskan akan hal ehwal yang bersangkut-paut dengan jual beli, urusniaga, transaksi dan ekonomi. Di dalamnya juga terkandung syarat dan rukun yang wajib dipatuhi oleh setiap muslim.
Munakahah : memperjelaskan hal ehwal kekeluargaan. Ia bersangkut-paut dalam menjalin hubungan sesama manusia dalam erti kata kekeluargaan. Bermula dari niat untuk berkehendak kepada pasangan hidup sehinggalah mengedarkan harta wasiat setelah seseorang Muslim kembali bertemu Allah SWT. Juga tidak terlepas untuk kita membicarakan tentang rukun dan syarat sah tatkala kita membahaskan ilmu ini.
Jenayah : memperjelaskan undang-undang hidup manusia di dunia apabila batas kemanusiaan dan kemasyarakatn dinodai. Di dalamnya juga terkandung rukun dan syarat untuk mengesahkan atau terbatalnya sesuatu perkara.
C. Ilmu Tasawuf ialah senjata ketiga yang diperlukan oleh seseorang Muslim untuk mempastikan kemenangan dalam pertempuran untuk menuntut ilmu. Tasawuf bermakna menyucikan. Ianya adalah bertujuan agar seseorang Muslim tahu, kenal dan dapat membezakan antara sifat mahmudah dan sifat mazmumah. Ia juga bertujuan agar seseorang muslim itu tahu bagaimana menyingkirkan sifat mazmumah dari dalam diri mereka serta menunjukkan jalan bagaimana ingin mendapatkan sifat mahmudah. Setiap muslim diwajibkan mempelajari dan memahami sekurang-kurangnya 10 sifat mahmudah dan sekurang-kurangnya 10 sifat mazmumah. Agar mereka dapat berusaha menjauhi dari memiliki sifat mazmumah yang terkeji. Serta mereka berusaha untuk mendapatkan sifat mahmudah yang terpuji.
Setelah ketiga-tiga senjata yang ampuh ini (Ilmu Tauhid, Ilmu Feqah dan Ilmu Tasawuf) ini dimiliki dan berjaya difahami, diyakini dan diamalkan seterusnya diperjuangkan dalam kehidupan sehari-hari, maka secara tidak langsung telah berjayalah seseorang muslim itu menempah kemenangannya yang pertama dalam salah satu dari tujuh pertempuran.
InsyaAllah, kita akan berusaha untuk memperkemaskan lagi ketiga-tiga cabang ilmu ini. Agar kita dapat memperjelaskan satu persatu apa yang terkandung di dalam ketiga-tiga cabang ilmu ini dalam satu lagi program yang akan menyusul tidak lama lagi iaitu slot program Fardhu Ain.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home