Saturday, January 28, 2006

Pertempuran Ke 4 :A'qabatul A'warid : PEMESONG IBADAH

Dalam seseorang berusaha untuk beribadah kepada Allah, bukan setakat perkara yang menghalang dari beribadah perlu dihadapi. Perkara-perkara yang melalaikan dia dari beribadah juga perlu dihadapi dalam waktu yang sama. Walaupun berhadapan dengan perkara yang melalaikan tidaklah sesukar berhadapan dengan perkara yang menghalang, namun mutu ibadah boleh cacat disebabkan tipu daya kerna hilang tumpuan ketika beribadah.

Dalam pertempuran yang lalu, kita berhadapan perkara yang menghalang seseorang secara total untuk beribadah. Kalau boleh perkara-perkara tersebut iaitu manusia(fasiq, kafir harbi dan munafik), dunia, syaitan dan nafsu ; seboleh-bolehnya tidak mahu seseorang muslim itu untuk beribadah. Namun, jika seseorang mampu menewaskan keempat-empat tentera musuh ini, seorang muslim masih belum lepas dari perkara-perkara yang melalaikan dia dari beribadah. Perkara yang melalaikan ini menyebabkan seseorang muslim, walaupun beribadah, namun ibadahnya tidak sempurna. Kalau bersembahyang, sembahyangnya tidak khusyuk atau di akhir waktu. Kalau berpuasa, puasanya hanyalah menahan lapar dan dahaga, tidak berpuasa hati dan anggota tubuh badan.

Ada empat tentera musuh yang melalaikan seseorang dari beribadah. Keempat-empat perkara yang sering melalaikan ialah :
1. Rezeki
2. Khuatir
3. Musibah
4. Qadha & Qadar

A. REZEKI

Firman Allah Al An’am : 140 Sesungguhnya rugilah orang-orang yang membunuh anak-anak mereka kerana kebodohan, lagi tidak berpengetahuan (sedang Allah yang memberi rezeki kepada sekalian makhluknya) dan juga (rugilah orang-orang yang) mengharamkan apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada mereka, dengan berdusta terhadap Allah. Sesungguhnya sesatlah mereka dan tiadalah mereka mendapat petunjuk.

Dalam ayat diatas jelas membuktikan, kedapatan orang-orang yang mencari rezeki melakukan perkara terlarang. Rezeki menjadi factor yang melalaikan. Kita akan sibuk memikirkan dan membanting tulang empat kerat untuk mencari rezeki. Kerana sibuk mencari rezeki, seseorang muslim sering mentakkhirkan(melewatkan) solat dan ibadah yang lain. Malah dalam mencari rezeki juga, sering seseorang terjerumus ke kancah rasuah yang haram demi mencapai cita-cita menjadi kaya dengan jalan singkat. Dalam usaha mencari rezeki, jangan sampai kita menafikan bahawa Allah yang memberi bekas atas hasil usaha yang kita lakukan. Tulang empat kerat yang dikerah dan keringat yang tumpah, belum tentu menjamin kejayaan jika tanpa izin Allah. Namun usaha dan ikhtiar adalah wajib, dan mesti selari dengan sunnatullah. Jika inginkan rezeki yang banyak maka perlulah bekerja keras dan bijak. Hasil dan natijahnya, kita serahkan kepada Allah. Barulah nanti rezeki yang diperolehi diberkati Allah walaupun sedikit. Rezeki yang diberkati Allah, walaupun sedikit tetapi mencukupi. Rezeki yang tidak mendapat keberkatan, walaupun banyak masih tidak mampu memuaskan hati seseorang.

B. KHUATIR

Firman Allah, Al Baqarah : 137Maka kalau mereka beriman sebagaimana kamu beriman (dengan Kitab-kitab Allah dan Rasul-rasulNya), maka sesungguhnya mereka telah beroleh petunjuk dan jika mereka berpaling (serta tidak mahu beriman dengan sebenar-benar iman) maka sesungguhnya mereka akan tinggal berkekalan dalam perbalahan dan permusuhan (dengan kamu). Oleh itu (janganlah engkau khuatir wahai Muhammad) kerana Allah akan memeliharamu (dan umatmu) dari kejahatan mereka dan Dialah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Khuatir merupakan salah satu sifat yang lahir dalam diri seseorang manusia. Ianya akan menimbulkan kebimbangan dan was-was kepada seseorang. Sifat ini melahirkan perasaan kebimbangan yang bukan-bukan seperti takut datangnya sakit. Takut kepada kepapaan. Takut kepada kesusahan. Bimbang kepada masa depan dan sebagainya. Sedangkan perkara atau amal ibadah belum lagi dilaksanakan. Antara perkara kebimbangan yang sering ditimbulkan oleh sifat khuatir contohnya ialah :“Kalau aku ada anak yang ramai, nanti aku susah nak cari rezeki”“Kalau aku bersedekah, nanti aku tak ada duit”“Kalau aku berjuang dan berjihad, nanti aku akan rasa susah”“Kalau aku asyik berpuasa, nanti badan aku lemah”“Kalau aku tak turut serta pesta maksiat, nanti aku tak ada jodoh”“Kalau aku menutup aurat, nanti kena label pengganas Islam”Dan sebagainya

C. MUSIBAH

Rasulullah SAW bersabda :
Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Aku menemui Rasulullah s.a.w ketika baginda dalam keadaan tidak sihat. Aku menggosok baginda dengan tanganku. Aku katakan kepada baginda: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya engkau benar-benar tidak sihat. Rasulullah s.a.w bersabda: Memanglah, apa yang aku alami sekarang ini adalah sama seperti yang di alami oleh dua orang di antara kamu. Aku berkata: Kalau begitu engkau beroleh dua pahala sekaligus. Rasulullah s.a.w bersabda: Benar. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Setiap orang muslim yang ditimpa musibah atau sakit dan sebagainya, maka Allah akan mengampunkan kesalahan-kesalahan dari sakitnya, sebagaimana daun yang gugur dari pokoknya. (Muslim)

Apabila musibah atau bala bencana menimpa kita, sering kita akan mengalami rasa kemurungan. Fikiran bercelaru. Hati tidak tenang. Mudah rasa marah. Hilang rasa sabar. Hilang rasional, lahirlah emosional. Inilah antara situasi yang sering timbul disebabkan kelemahan iman kita. Musibah yang melanda, menyebabkan kita hilang pertimbangan akal. Tidak mustahil, kita menyalahkan takdir. Justeru itu, kita lalai untuk beribadah kepada Alllah.

D. QADHA ALLAH

Qadha dan Qadar adalah salah satu rukun iman yang wajib dipercayai dan diyakini oleh setiap muslim. Apa makna Qadha ? Qadha ialah penentuan atau keputusan yang telah sedia dibuat oleh Allah sejak azali bagi segala yang akan ada atau yang akan berlaku. Apa dimaksudkan dengan azali ? Azali ialah masa silam yang tidak ada permulaannya. Masa sebelum terciptanya makhluk. Itulah azali.

Pendekata, sebelum Allah mencipta makhluk, Allah telahpun menetapkan Qadha Nya, atas apa yang akan berlaku.Qadar pula bermakna perlaksanaan Qadha. Iaitu segala yang telah ditentukan oleh Allah Taala sejak azali pasti akan ada atau akan berlaku dengan tepat.Qadha & Qadar Allah membabitkan ketentuan Allah terhadap seseorang manusia sama ada baik atau pun buruk. Apabila terjadinya ketentuan Allah, maka seorang muslim yang rapuh imannya akan sering lalai untuk meletakkan diri sebagai hamba Allah. Seandainya Qadha dan Qadar Allah berupa ketentuan yang baik buat dirinya, sering kita lihat mereka yang beroleh nikmat ini lupa mensyukurinya dan terus kufur dalam kenikmatan anugerah Allah. Jika ketentuan yang menimpa dalam bentuk kesukaran dan kepayahan, sering kita temui manusia akan keluh kesah, jadi pemarah hingga mengabaikan tuntutan beribadah.

Jalan penyelesaian kepada keempat-empat masalah di atas :

1. Hendaklah kita bertawakal kepada Allah SWT setelah kita berusaha dan berikhtiar.
2. Berserah diri kepada Allah SWT kerana sebagai Yang Maha Pencipta, Allah lebih tahu akan masa depan kita. Allah yang Maha Mengathui masa depan kita dan Allah yang mentadbir kehidupan kita.
3. Hendaklah bersabar dengan musibah yang melanda. Kuatkan pautan hati dengan Allah, dan ingatkan diri bahwa sebagai makhluk yang lemah tidak ada daya upaya kita untuk mengelakkannya melainkan dengan kudrah dan iradah Allah SWT.
4. Sentiasalah mengucapkan Innalillahi wainna ilai hirajiun (Dari Allah aku datang dan kepada Allah aku kembali”
5. Sentiasa mengucapkan La haula wala quwwata illah billah sebagai tanda kelemahan kita sebagai makhluk.
6. Anggaplah musibah yang melanda sebagai kifarah dosa kita didunia dan sebagai ujian dari Allah untuk meningkatkan darjat kita disisi Allah SWT.
7. Apabila ketentuan Allah datang berbentuk nikmat, ucapkanlah istighfar dan alhamdulillah. Syukurilah nikmat Allah dan ingatkan diri sendiri, seandainya nikmat yang hadir gagal ditadbir dengan hukum Allah, hakikatnya kita telah kufur nikmat.
8. Bersabar dan redha dengan ketentuan Allah yang tidak kita ingini. Ingatkan diri bahwa kita adalah makhluk yang lemah dan Allah saja yang menjamin keselamatan di dunia dan di akhirat.

Semoga kita beroleh iktibar dari tazkirah ini. Lantas kita berusaha menjadikan diri kita lebih baik berbanding hari-hari yang telah berlalu.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home